Sunday, May 29, 2011

Tanam Cili

PANDUAN MENANAM CILI

PENYEDIAAN TANAH:
Di Ladang
- Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm ( 6-19 inci).
- Sediakan batas berukuran 1.2m (4 kaki) lebar dan 22 hingga 30 cm (9-12 inci) tinggi.
- Panjang batas mengikut keadaan kawasan.
- Jarak antara batas ialah 45 cm (1.5 kaki).
- Gaulkan tahi ayam reput sebanyak 25kg bagi 50 meter persegi (500 kaki persegi) kawasan.

Dalam Pasu atau Bekas
- Gunakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau
kompos dan 1 bahagian pasir.
- Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm (2 inci) dari permukaan pasu.
Nota: Digalakkan menggunakan baja organik bukan berasaskan najis haiwan untuk penanaman cili.

MENYEDIA ANAK BENIH
Tanaman di ladang:
- Sediakan kotak semaian berukuran 45 cm (18 inci) panjang, 22 cm (9 inci) lebar dan 10 cm(4
inci) tinggi.
- Isikan kotak semaian dengan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir.
- Semai 5g biji benih dalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih dengan lapisan nipis
tanah.
- Jarak tanaman ialah 5 cm (2 inci) antar baris dan 2 cm (1 inci) antara pokok.
- Siram dengan penyiram yang mempunyai semburan halus dua kali sehari.
- Kotak semaian mesti dilindungi daripada cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan.
- Ubah anak benih ke ladang 3 hingga 4 minggu selepas disemai.
Sebelum diubah ke ladang:
- Dedahkan anak benih kepada cahaya matahari selama 3 hingga 4 hari untuk mengeraskannya.

PENANAMAN
Di Ladang:
- Anak benih boleh terus diubah ke batas.
- Sebelum mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang di gali.
- Gali anak benih dengan segumpal tanah dan tanam terus ke batas.
- Jarak tanaman ialah 90 cm (36 inci) antara pokok dan 150 cm (60 inci) antara baris.
Dalam Pasu atau Bekas:
- Semai terus 3 atau 4 biji benih kedalam pasu sedalam 2 hingga 5 cm.
- Tinggalkan hanya sepokok setiap pasu selepas 2 minggu ditanam.

PENJAGAAN
Menyiram
- Siram pokok pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.
Membaja:
DiLadang
- Tabur baja NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok dengan kadar 1 sudu besar atau 10g sepokok setiap 2 minggu.
Dalam Pasu atau Bekas:
- Tabur sebanyak 1 sudu the atau 5 g baja NPK Blue Special (12:12:17:2) sepasu di kelliling
pokok setiap minggu.

SUNGKUPAN
Di Ladang:
- Gunakan rumput-rumput kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan.
- Selalunya sungkupan plastik di gunakan di ladang.
Dalam Pasu atau Bekas:
- Gunakan rumput-rumput kering atau sabut kelapa.

MERUMPUT
Bersihkan batas atau pasu daripada rumpai dengan mencabut, menggunakan cangkul atau tajak.

KAWALAN SERANGGA DAN PENTAKIT
Bintik Daun – Sembur racum kulat Benomyl
Antraknos Buah – Sembur racun kulat seperti mancozeb
Kutu Daun – Sembur racun serangga chlorphyrifos atau Imidachloprid
Hamama Merah – Sembur racun seperti dicofol atau malathion
Kerekot Daun dan Mozek Daun:
a) Penyakit ini disebar oleh kutu daun. Oleh itu kawalan kutu daun adalah penting.
b) Buang dan bakar pokok yang berpenyakit
Layu Pokok (Layu Bakteria) – Tiada kawalan kimia yang berkesan. Buang dan bakar pokok yang berpenyakit.
Tentukan saliran tanah yang baik.

PENUAIAN:
Di Ladang:
- Cili boleh dipetik selepas 8 minggu dubah ke ladang.
- Pungutan dibuat setiap 3 atau 4 hari.
- Anggaran hasil dari kawasan 50 m (500 kaki) persegi ialah 100 – 200 kg.
a) Cili Hijau – Anggaran harga antara RM4 – RM6 sekilo
b) Cili Merah – Anggaran harga antar RM5 – RM8 sekilo.
Dalam Pasu atau Bekas:
- Cili boleh di petik selepas 12 minggu ditanam.
- Anggaran hasil ialah 6 hingga 10kg sepokok.

No comments:

Post a Comment